Monday, September 15, 2008
Ayuh hulurkan bantuan !
Seandainya anda terbaca blog mengenai madrasah ini, saya dengan rasa rendah diri dengan ini merayu pada anda semua agar dapat menyalurkan sedikit bantuan kepada anak2 kecil tahfiz kita ini untuk mendalami ilmu agama dan menjadi seorang hafiz yang cemerlang. InsyaAllah, dengan sumbangan anda, semoga kita dikenali Allah, kerana amalan kita ini. InsyaAllah..
Sumbangan walaupun kecil, tetapi ianya membawa kesan yang besar.. Sumbangan boleh disalurkan terus kepada pihak madrasah ataupun melalui saya. Saya boleh dihubungi melalui talian 017-3297123/012-2243063 ataupun emailkan ke hanif at um.edu.my ( tukarkan at kepada @).
Sumbangan boleh disalurkan secara bulanan, apa yang saya sarankan disini, mungkin anda boleh menyumbangkan 1kg beras setiap bulan dengan menyalurkan RM3 untuk 1kg beras. Doakan usaha ini membawa keberkatan. InsyaAllah.. Sama2 kita usahakan.
Alhamdulillah...
Syukur kepada Allah s.w.t yang telah melimpahkan kurniaan rezeki kenapa anak2 yatim tahfiz di madrasah ini.. semoga Allah taala membalas dengan balasan yang setimpal dengan sumbangan yang diberi ! InsyaAllah..
Untuk setakat harini..
40kg beras berjaya dikumpulkan.. Target sebulan 400kg untuk 100 anak2 tahfiz di madrasah.
Group Pertama ! Syukur kepada Allah !
Alhamdulillah, setakat harini.. dah berjaya kumpul 60kg beras !
Sunday, September 14, 2008
Syahidnya seorang hafiz..
Pada 12 sept yang lalu, salah seorang pelayar Madrasah Tahfiz Al-Quran An-Nur, Kesang laut iaitu Mohd Akmal B Mohd Fauzi, telah syahid padajam 6 petang dalam bulan Ramadhan ketika beliau berusia 11 tahun dan setakat ini telah menghafaz 5 juzu' dalam tempoh 7 bulan.
Beliau telah disahkan menghidap jangkitan pada paru - parunya.
Semoga Allah mencucuri rahmat keatas rohNya. InsyaAllah..
Begitulah saudara seislam ku sekalian, lihatlah bagaimana kecekalan seorang anak kecil mengejar cinta Allah. lihatlah juga kesungguhan beliau. Beliau telah cuba membuktikan bahawa usia muda tidak menghalang untuk menjadi seorang tahfiz.
Seandainya anda inginkan makluman yang lebih lanjut, boleh hubungi terus pihak madrasah.
Thursday, September 11, 2008
Selamat Datang Ke Laman Blog Madrasah An-Nuur
Madrasah Tahfiz Al-Quran An-Nuur merupakan satu kesinambungan yang lahir daripada keperihatinan masyarakat Islam di Kampung Kesang Laut terhadap kepentingan pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah di kariah mereka. Idea untuk mewujudkan madrasah ini telah dicetuskan oleh keluarga Tuan Haji Hamid b Haji Samad dan telah disambut baik oleh Masyarakat Islam di Kampung Kesang Laut ini.
Pada Januari 2000 hasil usaha Yang Berbahagia Ust. Hj Abd Rahman bin Haji Kiman dan beberapa orang dari jawatankuasa beliau, Yang Berhormat Menteri Besar Johor telah bersetuju untuk meluluskan bantuan bernilai RM20,000 (dua puluh ribu) bagi tujuan melengkapkan keperluan asas untuk madrasah tersebut.
Dengan izin Allah, pada hari Ahad 16 April 2000 tertubuhlah sebuah institusi pendidikan tahfiz Al-Quran yang dimahsyurkan dengan nama Madrasah Tahfiz Al-Quran An-Nuur. Apa yang lebih membanggakan pada peringkat awal, madrasah ini telah menerima khidmat bakti daripada anak tempatanya sendiri iaitu Ustaz Hj. Noor Efendi b. Hj Hamid Al-Hafiz sebagai pentadbir. Beliau dibantu oleh seorang ustaz daripada Batu Pahat, Ustaz Taufiq Abd. Aziz Al-Hafiz (Masih berkhidmat hingga kini) dengan kumpulan pelajar pada tahun tersebut seramai 10 orang.
Tips Hafazan Al-Quran
Sebelum menghafal
1. Mempunyai azam dan minat untuk menghafal
2. Memilih waktu yang sesuai untuk menghafal.
3. Memilih tempat yang sesuai untuk menghafal.
4. Berada dalam keadaan tenang.
5. Kosongkan fikiran sebelum menghafal.
6. Pilih sebuah jenis mashaf dan jangan ubah dengan jenis mashaf lain.
7. Beristighfar, membaca selawat dan doa sebelum mula menghafal.
8. Membaca ayat 164 surah Al-Baqarah sebelum mula menghafal.
A. Teknik "Chunking"
1. Memisah-misahkan sepotong ayat yang panjang kepada beberapa bahagian yang sesuai mengikut arahan guru.
2. Memisah-misahkan selembar mukasurat kepada beberapa bahagian (2 atau 3 bahagian) yang sesuai.
3. Memisah-misahkan surah kepada beberapa bahagian, contohnya mengikut pertukaran cerita.
4. Memisah-misahkan juz kepada beberapa bahagian mengikut surah, hizib, rubu', cerita dan sebagainya.
5. Memisah-misahkan Al-Qur'an kepada kelompok surah, setiap 10 juz dan sebagainya.
B. Teknik Mengulang
1. Membaca sepotong atau sebahagian ayat sekurang-kurangnya lima kali sebelum mula menghafalnya.
2. Membaca ayat yang telah dihafal berulang-ulang kali (10 atau lebih) sebelum berpindah ke ayat seterusnya.
3. Selepas menghafal setiap setengah mukasurat, harus diulang beberapa kali sebelum diteruskan bahagian yang kedua.
4. Selepas menghafal satu mukasurat diulang beberapa kali sebelum diteruskan ke muka surat seterusnya.
5. Sebelum menghafal bahagian Al-Qur'an seterusnya, harus diulang bahagian yang sebelumnya.
C. Teknik Tumpu dan Ingat
1. Menumpukan penglihatan kepada ayat, mukasurat dan lebaran.
2. Pejamkan mata dan cuba melihatnya dengan minda.
3. Sekiranya masih lagi kabur, buka mati dan tumpukan kembali kepada mashaf.
4. Ulanglah sehingga dapat melihat ayat atau mukasurat tersebut dengan mata tertutup.
D. Teknik Menghafal Dengan Seorang Teman
1. Pilih seorang teman yang sama minat.
2. Orang yang pertama membaca dengan disemak oleh orang yang kedua.
3. Orang yang kedua membaca dengan disemak oleh orang yang pertama.
4. Saling menebuk ayat antara satu sama lain.
E. Teknik Mendengar Kaset
1. Pilih seorang qari' yang baik bagi seluruh Al-Qur'an atau beberapa qari' bagi surah-surah tertentu.
2. Sebelum mula menghafal, dengar bacaan ayat-ayat yang ingin dihafal beberapa kali.
3. Amati cara, lagu dan tempat berhenti bacaan qari' tersebut sehingga terpahat di fikiran.
4. Mula menghafal ayat-ayat tersebut dengan cara dan gaya qari' tersebut.
5. Sentiasa mendengar kaset bacaan Al-Qur'an dan kurangkan atau tinggalkan pendengaran lagu kerana ia akan mengganggu penghafalan.
F. Teknik Merakamkan Suara
1. Rakamkan bacaan kita di dalam kaset dan dengar semula untuk memastikan bacaan dan hafalan yang betul.
2. Bagi kanak-kanak, rakamkan bacaan ibu-bapa atau guru kemudian diikuti oleh bacaan kanak-kanak tersebut. Minta kanak-kanak tersebut mendengar kembali rakaman tersebut beberapa kali hingga menghafalnya.
G. Teknik Menulis
1. Tulis kembali mukasurat yang telah dihafal.
2. Kemudian semak semula dengan mashaf.
3. Menulis setiap ayat pertama awal mukasurat, atau setiap rubu', atau setiap juz, atau setiap surah dalam satu helai kertas.
H. Teknik "Pointers" dan "Keyword"
1. Buat beberapa kotak.
2. Setiap kotak merupakan satu mukasurat.
3. Catit dalam kotak tersebut beberapa perkataan yang menjadi keyword bagi mukasurat tersebut.
4. Merenung dan membayangkan kotak tersebut dalam ingatan.
I. Teknik Menghafal Sebelum Tidur
1. Membaca atau menghafal beberapa potong ayat sebelum tidur.
2. Semasa melelapkan mata, dengar kaset bacaan ayat-ayat tersebut dan bayangkan posisi-nya di minda kita.
3. Dengar kembali dari awal surah, juz atau hizib, atau mana-mana yang sesuai sehingga ayat yang telah dihafal. Cuba bayangkan ayat-ayat yang didengar dari kaset di minda kita.
J. Teknik "Mindmaping"
1. Bagi setiap Juz, buat 8 cabang, setiap cabang satu rubu'. Tulis ayat pertama rubu' tersebut dicabangnya.
2. Bagi setiap surah, buat cabang bagi setiap pertukaran cerita atau rubu'.
3. Bagi setiap 10 juz, buat cabang bagi setiap juz, dan cabang yang lebih kecil bagi rubu'.
Mengekalkan Hafalan
1. Jauhi maksiat mata, maksiat telinga dan maksiat hati.
2. Banyak berdoa, terutama waktu mustajab doa seperti ketika berbuka puasa, ketika belayar, selepas azan dan lain-lain lagi.
3. Kerjakan solat hajat kepada Allah.
4. Kerjakan solat Taqwiyatul hifz.
5. Menetapkan kadar bacaan setiap hari, contohnya, selembar, setengah juz, 1 juz dan sebagainya.
6. Membaca pada waktu pagi dan mengulangnya pada waktu malam.
7. Jangan membaca ketika sedang bosan, marah atau ngantuk.
8. Menulis setiap ayat yang mutashabih.
Kelayakan Pengajian
SYARAT UMUM
1. Pemohon mestilah seorang pelajar lelaki (berumur di antara 10 hingga 17 tahun)
2. Boleh menulis, membaca dan mengira (Jawi dan Rumi)
3. Sekiranya pemohon merupakan bekas pelajar institusi atau sekolah lain, mereka perlulah mengemukakan sijil berhenti. (Bagi pelajar berumur bawah 12 tahun, mereka digalakkan meneruskan pengajian Sekolah Rendah mereka di sekolah yang berdekatan dengan madrasah ini)
4. Memiliki sahsiah diri yang terpuji,baik dan menggalakkan.
5. Tidak menghidap penyakit yang kronik.
6. Lulus temuduga yang dijalankan oleh pihak madrasah.
KELAS NAZIRAH & PRA TAHFIZ
1. Pelajar di tahap ini merupakan pelajar yang telah tamat pengajian asas membaca Al-Quran (Iqra atau muqaddam dan seumpamanya).
2. Pada tahap ini pelajar akan didedahkan dengan penghafazan surah dan ayat-ayat lazim.
3. Syarat minima pelajar dari tahap ini untuk meneruskan pengajian mereka ke kelas tahfiz ialah: Mampu menamatkan hafazan surah As-Sajadah, Ad-Dukhan dan Al-Mulk dalam tempoh kurang dari sebulan.
KELAS TAHFIZ
1. Pernah mengkhatamkan bacaan Al-Quran 30 ju dengan sempurna.
2. Bersedia menamatkan hafazan 30 juz di madrasah ini.
3. Memiliki kemampuan minimum untuk menghafaz bagi setiap juzu dalam tempoh tidak melebihi 40 hari.
Syahadah Tahfizul Quran merupakan sijil tertinggi yang dikeluarkan oleh Madrasah Tahfiz Al-Quran An-Nuur hanya kepada para pelajarnya yang lulus di dalam peperiksaan khas untuk menguji kepakaran pelajar terhadap hafazan Al-Quran mereka. Di dalam peperiksaan ini calon dikehendaki untuk memperdengarkan hafazan mereka kepada Jemaah Tasmi’ dengan kesalahan yang sangat minimum. Calon yang gagal menamatkan peperiksaan atau merekodkan kesalahan melebihi 15 kesalahan adalah dianggap gagal di dalam penilaian ini. Untuk melayakkan diri menduduki peperiksaan ini, calon perlulah terlebih dahulu menamatkan hafazan 30 juz Al-Quran dan menduduki kelas pakar sebagai persediaan menghadapi Peperiksaan Syahadah.
i. Calon boleh menduduki peperiksaan tersebut berdasarkan dua tahap:
A. Kategori 15 juz (Dua hari berturut-turut)
B. Kategori 10 juz (Tiga hari berturut-turut)
ii. Bacaan calon akan diperdengarkan di hadapan Jemaah Tasmi’ yang diketuai oleh seorang ketua pemeriksa
iii. Peperiksaan ini juga ditawarkan kepada para huffaz yang menamatkan hafazan mereka dari institut tahfiz lain dengan persetujuan MUMAN.
Akademik
1- Hafazan Al-Quran
2- Pra Al-Quran
3- Fardhu Ain
4- Bahasa Arab
5- Tajwid
6- Ibadat Amali
7- Doa, zikir dan ibadar seharian
8- Penyampaian dakwah, ceramah dsb.
Secara dasarnya Madrasah Tahfiz Al-Quran An-Nuur (MAN) merupakan sebuah madrasah yang ditubuhkan hanya untuk mengeluarkan para huffaz Al-Quran secara khusus. Walaubagaimanapun, MAN melalui MUMAN sentiasa berusaha untuk memberi peluang kepada para pelajar agar dapat menikmati subjek pelajaran lain yang bersesuaian dan dikira mampu merangsang pertumbuhan intelek seorang pelajar pafiz.
1. Antara subjek pelajaran yang pernah dan masih ditawarkan di MAN selain menghafaz Al-Quran sebagai teras ialah:
Subjek | Catatan |
FIQH (Matan Abi Syujak dll) | Masih berjalan |
ALLUGHATUL ARABIAH | Masih berjalan |
TAJWID AL-QURAN (Ilmi & Amali) | Masih berjalan |
JAWI & KHAT | Ditangguhkan |
AKHLAK ISLAMI | Masih berjalan |
DOA MASNUN | Masih berjalan |
ADDAKWAH WAL KHITHOBAH | Masih berjalan |
ENGLISH LESSON (Basic) | Masih berjalan |
BAHASA URDU | Ditangguhkan |
SAINS | Ditangguhkan |
MATEMATIK | Ditangguhkan |
BAHASA MELAYU | Masih berjalan |
APLIKASI KOMPUTER | Masih berjalan |
IBADAT AMALI | Masih berjalan |
2. Bagi memastikan keberkesanan setiap subjek yang ditawarkan. MAN telah mengambil langkah dengan menyerahkan kelas-kelas pengajian ini untuk dikendalikan oleh tenaga pengajar yang berkelayakan. Inisiatif ini telah membawa MAN kepada menerima tenaga pengajar yang berdedikasi malah menghantar pelajar ke kelas di luar MAN. Seperti kelas Aplikasi Komputer di Kolej Komuniti Jasin.
3. Atas maksud yang sama juga, Lembaga Peperiksaan Madrasah An-Nuur telah ditubuhkan bagi meningkatkan lagi tahap pemahaman pelajar di dalam pelajaran mereka. Antara fungsi lembaga ini di musim peperiksaan ialah:
i. Menyediakan soalan peperiksaan bertulis bagi setiap subjek pelajaran.
ii. Membincangkan skema pemarkahan dan dasar peperiksaan madrasah
iii. Melantik mumtahin untuk peperiksaan yang melibatkan peperiksaan syafawi.
iv. Menjalankan proses penandaan kertas jawapan peperiksaan dan mengeluarkan keputusan peperiksaan tersebut.
v. Membuat rumusan dan graf keputusan peperiksaan bagi tujuan menilai kemampuan pelajar.
Pengenalan
Sejarah Awal & Lokasi
• Madarasah Tahfiz Al-Quran An-Nuur (MAN) telah ditubuhkan pada hari Ahad 16 April 2000 bersamaan 11 Muharram 1421. Pada tahun permulaan ini MAN memiliki 10 orang pelajar, seorang guru dan seorang mudir bagi tugas pengurusan madrasah.
• MAN terletak di Kampung Kesang Laut, 10 kilometer daripada Bandar Muar. Sehingga kini MAN masih beroperasi di lokasi awalnya iaitu di KM- 11, Surau An-Nuur, Kesang Laut. MAN menerima khidmat Ustaz Adlan Jaafar Al-Hafiz.
• MAN mencatat sejarahnya yang tersendiri apabila melahirkan pelajar Hafiznya yang pertama (Umar Hafiz Bin Syafie, 11 tahun) dalam tempoh 9 bulan. Madrasah An-Nuur merupakan madrasah pertama beliau dalam usia madrasah yang ketika itu baru mencecah satu tahun.
• Hasil usaha Tuan Hj. Abd. Rashid b. Hj. Abu Hasan (Pengerusi Surau Al-Mizan.) MAN melangkah setapak lagi kehadapan apabila diminta untuk membuka cawanganya di Surau Al-Mizan, Kampung Parit Karang Darat. Ustaz Rushdi Bin Chik diberikan mandat dan kepercayaan oleh Pentadbiran MAN untuk menguruskan cawangan tersebut. Secara rasminya Kelas di Parit karang Darat ini telah dikenali dengan nama Raudhah An-Nuur dan terus beroperasi sehingga ke hari ini.
• Atas inisiatif Tn. Hj Abd Rashid B. Abu Hassan (Pengerusi Surau Al-mizan) dan keluarga beliau, pelajar MAN cawangan Pt. Karang Darat telah di pindahkan ke premis baru yang merangkumi dua pintu rumah yang dijadikan asrama pelajar. Iaitu bersebelahan dengan bangunanan asal asrama pelajar (Balai Islam) di Surau Al-Mizan Pt. Karang Darat. Perpindahan ini telah memberikan suatu suasana baru kepada pelajar MAN yang menjanjikan lebih keselesaan.
• 2003 - Fungsi pejabat pentadbiran MAN dipindahkan dari asrama 2 (Rumah Hj. Abd. Hamid) ke Raudhah An-Nuur, Parit Karang Darat sehinggalah ke hari ini.
• Sehingga hari ini Madrasah Tahfiz Al-Quran An-Nuur (MAN) masih terus mencurahkan baktinya kepada masyarakat. MAN sentiasa komited di dalam usahanya untuk melahirkan generasi Al-Quran yang bertaqwa dan berdaya saing.
OBJEKTIF MADRASAH
• Memartabatkan Syiar Islam melalui Al-Quran bergerak iaitu insan yang hafaz Al-Quran dan beramal dengannya.
• Melahirkan para du’at dari kalangan huffaz Al-Quran yang menguasai hafazan dan berdaya saing menurut kehendak semasa.
VISI MADRASAH
• Menjadi pusat pengajian tahfiz al-quran tempatan yang berkesan dalam melahirkan generasi hamilul quran yang berjiwa da’ie.
• Berusaha membentuk keperibadian pelajar hafiz supaya mereka sangat sensitif dan menyedari tanggungjawab sebenar mereka sebagai seorang ‘pelajar Al-Quran’.
MISI MADRASAH
• Menjadi tempat menghasilkan para huffaz yang berkualiti untuk masyarakat di samping menjalankan aktiviti dakwah dan penyebaran Syiar Islam secara berterusan
• Merancang agenda yang dapat membentuk jati diri pelajar.
• Menjadi pusat tarbiah yang tidak terbatas hanya para pelajar tetapi merangkumi warga madrasah dan masyarakat setempat.